KHABAR ANGIN
KHABAR ANGIN

Dr Muhammad Muhammad Abu Syahbah telah menukilkan
riwayat Muslim di dalam bukunya “Fi Rihabi Assunnah”, Baginda Nabi S.A.W telah
bersabda: “Memadalah sesorang itu dikira pembohong apabila dia
menceritakan semua perkara yang didengarinya”.
Ibnu
Mas’ud juga pernah menyentuh hal yang sama, dengan katanya: “Memadalah
sesorang itu dikira berdosa dengan hanya menceritakan semua perkara yang
didengarinya”.
KETERANGAN HADIS
Hadis
di atas menunjukan kepada kita, bahawa menjadi satu kesalahan dan dosa apabila
seseorang di kalangan kita menyampaikan semua apa yang diperolehi, dalam erti
kata lain menyampaikan semua “khabar angin” yang di dengari. Hadis ini
juga memberi amaran kepada kita agar tidak mudah menerima apa sahaja yang
diperkatakan orang tanpa memeriksa terlebih dahulu asal usul perkhabaran
tersebut. Jika tidak, kita akan dikira pembohong, perbuatan ini menambahkan
lagi dosa, dan membebankan lagi derita di akhirat.
KHABAR ANGIN
Khabar
angin menurut kamus dewan edisi ketiga; adalah khabar atau berita yang belum
atau tidak pasti kebenarannya. Ianya selalu disampaikan tanpa usul periksa
kesahihannya.
Khabar
ini juga berkemungkinan tidak memihak kepada kebenaran dan berkemungkinan
menepati hakikat, walaubagaimanapun khabar angin tidak boleh disebutkan atau
disampaikan. Inilah kefahaman yang terkandung di dalam hadis di atas.
Islam
mengajarkan kepada kita bahawa sesutau kenyataan yang di kemukakan harus
melalui proses pengukuran dan penilaian, samada kenyataan itu bertepatan
(bersumberkan) al quran atau hadis atau athar atau melengcong dari kebenaran.
KAEDAH ISLAM
Di
dalam Islam terdapat kaedah dalam menentukan sesuatu perkhabaran yang hendak
diterima atau diungkapkan. Sarjana Islam meletakkan kaedah tersebut sebagai
asas pengkajian mereka. Kaedah itu adalah :
“JIKA
ANDA MENUKILKAN SESUATU PASTIKAN KESAHIHANYA, JIKA ANDA MENDAKWA SESUATU
PASTIKAN DALIL DAN BUKTINYA.”
Setiap
perkataan atau kenyataan disisi Islam tidak akan bernilai dan bermanfaat jika
tidak melalui proses di atas, bahkan agama Islam secara keseluruhannya datang
dalam keadaan penuh keyakinan dan mampu diterima oleh seluruh akal manusia,
kerana Islam datang dengan dalil dan Hujjah, ajaran Islam bukanlah datang dalam
bentuk wujdaniah atau khayakan semata. Ketinggian Islam adalah kerana
kebenaran hujjah dan kekuatan dalilnya. Oleh kerana itu, Abdullah bin Al-Mubarak
pernah menyebutkan : “Kalau bukan kerana sanad nescaya akan berkatalah
sesiapa sahaja apa sahaja yang mereka inginkan”.
SENGSARA KHABAR ANGIN
Mutakhir
ini ramai orang sering mendakwa, membawa cerita, atau memindahkan sesuatu
maklumat tanpa menilai dan melaui proses yang diterangkan di atas, di tambah
pula dengan penerimaan orang secara membuta tuli terhadap semua perkhabaran
tersebut. Keadaan ini akan mengakibatkan penderitaan, pertelingkahan dan
sebagainya. Lihat sahaja dengan satu khabar angin boleh memporakperandakan
sebuah rumah tangga bahagia, memutuskan silaturrahim antara keluarga tercinta,
memisahkan dua sahabat yang berukhuwwah, saling tidak mempercayai antara satu
sama lain, membuatkan kehidupan dalam syak wasangka, seterusnya mengakibatkan
kemusnahan keamanan hidup, sengasara jiwa dan sebagainya.
BAHANA DALAM AGAMA
Manakala
dalam perihal agama, khabar yang tidak
dipastikan kebenaran dan kesahihannya atau tidak bertepatan dengan fakta dan
kewarasan akal akan mengelirukan agama
lantas dipersenda dan didustai. Ini yang terjadi kepada agama Kristian di barat
pada hari ini, sehingga penghormatan para penganutnya kepada lambang utama
agama termasuk Tuhan dan Jesus menjadi bahan sendaan dan mainan.
Penerimaan
Khabar yang tidak berasas ini secara membuta tuli khusus berkenaan ajaran agama
akan memandulkan akal dan menerencatkan fungsi akal manusia. Ini dapat kita
lihat Negara-negara yang rakyatnya diharamkan untuk berfikir sehingga menelan
segala perkara, samada benar ataupun salah tanpa mampu atau mahu berfikir, ini
yang terjadi kepada penganut berhala Totok yang menyembah apa sahaja yang
terlintas atau yang difikirkan ajaib. Betapa
akal dimandulkan tahap maksimum dalam beragama.
PENUTUP
Saudara,
Marilah sama-sama meningkatkan mutu kehidupan sebagai muslim hakiki dalam
mencorak pemikiran kritis dan memberikan akal peranannya dengan Method dan
Manhaj pemikiran dan pengkajian. Betapa pentingnya keutamaan berijtihad (dengan
erti kata bersungguh-sungguh memastikan kebenaran sesuatu yang diperolehi) ke
atas taqlid yang melulu. Hal ini ditegaskan oleh Dr Yusof al Qardhawi dalam
bukunya Fiqh Keutamaan.
Sebenarnya,
kita tidak bimbang asal usul sesuatu perkataan atau pemikiran atau apa-apa
kefahaman selagi benar atau bertepatan dengan fakta, kita boleh terima
sekalipun ianya datang dari pihak musuh, kerana kebenaran tidak memilih bulu.
Perkara yang sepatutnya kita bimbang adalah sekiranya unsur itu terpesong jauh
daripada kebenaran. WALLAHU A’ALAM
Abdul Muhaimin Malek,
Mudir MTQ ADDIN Air Kuning.
Ulasan
Catat Ulasan