ILMU DAN GURU
ILMU DAN GURU
“ Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang Yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu Yang dituntut di Dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)”. Surah Al Taubah 122
Di dalam ayat di atas Allah memerintahkan sebahagian sahabat-sahabat nabi supaya mendalami ilmu agama dengan nabi s.a.w dan dalam masa yang sama Allah melarang mereka pergi berperang bersama pasukan tentera yang dihantar Rasulullah ke medan perang. Al Zujjaj menyebutkan: Ayat ini walaupun perkataannya didatangkan dalam bentuk perkhabaran, akan tetapi membawa makna perintah sepertimana ayat 113 di dalam surah tersebut. (Ibn Jauzi, Zadul Masir. Juzuk 3.m/s 517)
Larangan di atas adalah bertujuan supaya ada di kalangan mereka orang yang dapat memahirkan diri dalam jurusan ilmu agama dengan menuntut ilmu dan mendalaminya sebaik mungkin.
Manakala Suruhan di atas iaitu perintah mendalami ilmu agama adalah bertujuan supaya mereka dapat menyampaikan ilmu tersebut kepada mereka yang akan kembali dari medan perang dan mereka yang tak berkesempatan menuntut ilmu dengan Nabi SAW.
Ayat di atas juga menyebutkan kepada pembacanya objektif atau maqasid kepada perintah mendalami ilmu agama, iaitu (Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga dari melakukan larangan Allah).
Bahkan di antara maqasid atau tujuan kedatangan Islam itu sendiri adalah menyebar luaskan ilmu dan etikanya kepada masyarkat, dan membentuk beberapa kelompok yang bertugas memahamkan ilmu agama dan mengislamkan pemikiran orang Islam, supaya segala selok belok kehidupan bertepatan dengan tujuan syarak. (Ibn ‘Asyur. Al Tahrir wa Al Tanwir. Juzuk 11.m/s 59).
KELEBIHAN ILMU DAN GURU
Allah S.w.t berfirman di dalam surah Al Zumar Ayat 9,
"Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang Yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna.
Abul Hasan Al Mawardi menyebutkan: “ Di dalam ayat di atas Allah s.w.t melarang kita menyamakan orang yang berilmu dengan orang yang jahil, disebabkan ilmu yang terdapat pada orang alim”.(Adabu Dunya wad Addin.m/s49)
Ilmu yang paling afdhal adalah ilmu yang boleh membuatkan kita mengenali diri sendiri seterusnya dapat mengenali Allah Pencipta Alam. Ilmu itu juga dapat membantu kita mengetahui tujuan kita dihidupkan, dan dapat memudahkan kita kearah merialisasikan tujuan tersebut. (Al Qardhawi. Al Rasul wal Ilmu.m/s 9).
Al Ghazali pernah menyebutkan; Hak seorang guru atau orang yang mengajarkan ilmu adalah lebih besar dari hak kedua ibu bapa. Ibu bapa hanya penyebab wujudnya kita di alam semesta yang sementara ini, manakala guru adalah penyebab wujud kita dalam keadaan selamat di alam yang kekal nanti.(Al Ehya’. Jilid 1.m/s 55).
Justeru Yahya bin Muaz Rahimahullah pernah berkata: Orang berilmu adalah manusia yang paling sayang kepada kita dari kedua ibu bapa, kerana Ibu bapa menyelamatkan kita dari bencana dunia, manakala orang berilmu menyelamatkan kita dari bencana Akhirat. (Al Qardhawi.m/s 103)
PENYUBURAN AKAL SATU KEWAJIBAN SYARAK
Al-Syatibi ketika menghuraikan bentuk pemeliharaan Lima perkara asas manusia, iaitu Agama, Nyawa, Keturunan, Akal dan Harta menyebutkan: Terdapat dua cara dalam memelihara lima perkara tersebut; Melakukan sesuatu yang boleh menyubur dan mengembangkan dan Mengenakan tindakan bagi memelihara kesejahteraan lima perkara tersebut.
Akal wajib disuburkan dengan membaca, belajar, mencari ilmu dan berfikir. Dengan ilmulah akal akan berfungsi dengan baik, dapat mengatur dan merencanakan sesuatu dengan bersistematik, dapat mengukur kebaikan dan keburukan, seterusnya mendorong kepada melakukan sesuatu yang dinamik dan bermanfaat.
Ayat pertama surah Al ‘Alaq menjadi dalil wajib kepada penyuburan akal.
Pernah saya terbaca satu kajian yang dibuat dalam surat khabar arus perdana menyebutkan tentang kelebihan mengfungsikan akal, bahawa akal yang selalu subur dengan pembacaan dan pemikiran boleh mengelak diri dari terkena penyakit nyanyok ketika usia menjelang tua.
Jika dilihat tindakan sebahagian manusia mutakhir ini menggambarkan betapa akal manusia tidak berfungsi dengan sebaiknya, bahkan perasaan suka duka, sayang dan benci tidak lagi berpandukan kepada kewarasan akal. Kita sayang sesuatu yang tidak layak diberikan kasih sayang, kita benci sesuatu yang wajib kita sayangi dan sebagainya.
Oleh itu, saya menyeru seluruh teman-teman agar sama-sama melaksanakan kewajiban ini, saya juga menyeru guru-guru, ustaz-ustaz, ustazah-ustazah sama-samalah kita menambahkan ilmu dengan belajar dan memperbanyakkan baacaan dan kajian agar kita dapat melaksanakan perintah ayat surah Taubah 122 di atas. Semoga kerjaya anda memperoleh pahala dari Allah.
Susunan:
Abd Muhaimin Malek
Pegetua,
Maahad Tahfiz al Quran Wal Qiraat ADDIN,
Air Kuning, Kampar.
Rujukan;
1- Zadul Masir Fi Ilmi Tafsir
2- Al Tahrir wa Al Tanwir
3- Al Rasul Wa Al Ilm
4- Ehya Ulumuddin
5- Adabu Dunya Wa Al ddin
6- Al Muwafaqaat
Ulasan
Catat Ulasan