KESATUAN UMAT ISLAM DI DALAM IBADAH HAJI & KORBAN
KESATUAN UMAT ISLAM DI DALAM IBADAH HAJI & KORBAN
MUQADDIMAH
Di dalam bulan mulia zulhijjah ini terdapat beberapa amalan yang mendatangkan kebaikan yang besar kepada umat Islam, justeru umat Islam harus pertamanya merebut peluang besar ini serta berlumba-lumba melaksanakannya dengan penuh dedikasi mengaharapkan Rahmat, keampunan dan kebaikan dari Allah. Keduanya memulakan amalan dengan pengetahuan yang mencukupi supaya maksud yang tersirat di sebalik amalan-amalan yang dikerjakan beroleh ganjaran dan paling penting supaya amalan itu diterima disisi Allah S.W.T. Antara amalan tersebut adalah perbuatan haji dan sembelih korban.
Di dalam ruangan yang amat terbatas ini, penulis cuba memaparkan hikmah dan kebaikan di sebalik amalan-amalan tersebut dengan mengutamakan maqasid kesatuan dan kekuatan umat Islam insyaAllah.
HAKIKAT IBADAH HAJI
Ibadah haji merupakan ibadah yang sarat mengandungi nilai-nilai yang amat tinggi dan sangat bermanfaat. Hikmah yang terdapat disebalik perbuatan-perbuatan haji jelas kelihatan dan mudah dirasai khususnya bagi orang yang mengerjakan ibadah tersebut.
Hakikat haji seperti yg disebutkan oleh Imam al-Dahlawi : "Adalah suatu pertemuan besar-besaran orang-orang soleh dalam satu masa dan satu tempat bertujuan mengingati orang-orang soleh terdahulu yang pernah Allah kurniakan niamat tempat tersebut, mereka dan jemaah haji dalam pertemuan besar itu sama qasadnya, iaitu mengagungkan syiar Allah, mengharapkan dari yg maha Esa keampunan, kebaikan serta penghapusan segala dosa lampau.( Hujjatullah Al balighah.jilid 1/m.s 141)
Allah menjadikan Mekah sebagai tempat untuk umat Islam berkumpul mencari kekuatan spiritual dan fizikal, kerana mekah dan segala isinya termasuk Kaabah adalah lambang kesatuan dan kekuatan umat Islam, disamping itu umat Islam yang berada diluar Mekah wajib menyokong kekuatan dan kesatuan yang sedang dibina umat Islam di sana dengan kita bermuafakat dalam menentukan hari raya ‘Eidul Adha kali ini dan seterusnya dengan menurut Mekah yang terdapat padang ‘Arafah, supaya kita benar-benar kelihatan bersatu. Allah dalam firmanNya juga mengisyaratkan kesatuan itu pada firmanNya:
189. "Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. katakanlah: "(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya Ibadat Haji.- Al Baqarah.
Dr Ismail Lutfi dalam bukunya “‘Eidul Adha menurut hari ‘Arafah adalah syariat Allah yang membawa kesatuan umat”. Menyebutkan: “Demi kesatuan umat serta lebih tepat dengan Maqasid Syariah dan selaras dengan sunah Rasulullah S.A.W diserukan supaya penentuan ‘eidul adha hendaklah menurut pengisytiharan resmi mengenai hari ‘Arafah, iaitu hari raya haji hendaklah mengiringi hari ’Arafah dengan beberapa sebab…” (untuk bacaan lanjut sila rujuk buku beliau seperti nama di atas. m/s 77 dan selepasnya).
KESATUAN MAGHFIRAH DAN RAHMAT
Apabila kesemua jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia bersatu dalam keadaan semua mereka tidak mempunyai hasrat dan harap melainkan hanya harapan dari yang Maha Esa, maka sudah tentulah Rahmat dan keampunan-Nya dengan mudah diturunkan buat mereka ketika itu, turun ibarat hujan lebat ke atas mereka. Dan hari perhimpunan tersebut merupakan hari yang paling kecewa dan amat menyedihkan serta menyakitkan buat syaitan durjana. Sepertimana yang pernah digambarkan nabi S.A.W dalam sebuah sabdaanNya: “Tiada satu haripun di dunia ini bagi syaitan amat merasa hina dan dukacita melainkan pada hari ‘Arafah." (Hujjatullah Al balighah.jilid 1/m.s 142).
Marilah kita bersatu memohon keampunan dan kebaikan dari-Nya. Jadikan hari-hari bulan Zulhijjah ini hari yang amat malang keatas syaitan. Jadikan Kaabah al-Musyarrafah sebagai simbul kesatuan kekuatan umat Islam, biarpun kita tidak berada betul-betul berhadapan denganya tetapi semua kita tetap menjadikannya kiblat dalam solat dan lain-lain ibadat.
KESATUAN MEMPERINGATI NABI IBRAHIM DAN ANAKNYA ISMAIL ALAIHIMASSALAM DALAM IBADAH QURBAN
Antara hikmah yang wajib diambil dan dilestarikan dalam kehidupan muslim kepada pensyariatan sembelihan Kurban adalah mencari kekuatan “ketaatan mutlak” terhadap segala titah perintah Allah dengan penuh kesabaran yang mendalam dan tanpa memberikan walau sedikit alasan untuk menolak atau menangguhkannya.
Kesatuan umat Islam seluruh dunia hari ini memperingati peristiwa “ketaatan mutlak dengan penuh kesabaran” yang ada pada dua insan terhebat iaitu Nabi Ibrahim dan Ismail ‘Alaihimassalam ketika melaksanakan perintah korban. Si ayah hanya mendapat perintah melalui mimpi supaya menyembelih satu-satunya anak kesayangan yang lahir dari rahim mulia Saidatina Hajar ‘Alaiha Al Salam lalu dengan segera tanpa tangguh dan dengan penuh sabar menjalankan titah tersebut dengan menceritakan keadaan mimpi tersebut kepada sang anak. Si anak pula dengan keimanan yang mendalam dengan penuh sabar mempercepatkan arahan sembelihan dengan menggesa si ayah untuk melaksanakannya jika arahan itu datang dari Allah S.W.T. merupakan contoh sebuah pengorbanan yang tidak ada bandingan dan tandingan, sebuah ketaatan yang tidak terdapat seumpanya. Hayati firmanNya yang bermaksud:
102. Maka ketika Anaknya itu sampai (ke peringkat umur Yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya Aku melihat Dalam mimpi Bahawa Aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa Yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang Yang sabar" - As Soffat
![]() |
Umat Islam di seluruh dunia akan mengorbankan binatang qorban sebagai lambang memperingati qorban Nabi Ibrahim a.s dan lambang ketaatan mutlaq kepada Allah azza wa jalla. |
PENUTUP
Sebagai kesimpulan kepada catatan ringkas ini, penulis menyeru agar kesatuan yang di laungkan mutakhir ini mestilah berlandaskan kepada ketaatan kepada Allah Pencipta alam. Hanya ketaatan kepada Allah akan membuahkan kesatuan dan kekuatan umat Islam dulu kini dan selamanya. TAQABBALALLAH TA’ATAKUM.
Rujukan;
Al Quran. Al Mustafad min Qisas Al Qur’an Dr Abd Karim Zaidan. Al ‘Ibadat fil Islam Qardhawi. ‘Eidul Adha menurut hari ‘Arafah adalah syariat Allah yang membawa kesatuan umat. Hujjatullah Al Balighah.
PEMBINAAN BANGUNAN KELAS DAN PEJABAT RM 400,000.00
SUMBANGAN ANDA AMAT DIPERLUKAN
AKAUN: CIMB ISLAMIC BANK. NO A/C: 8602115596
MTQ ADDIN AIR KUNING
Ulasan
Catat Ulasan